Dikenali sebagai ‘kucai dayak’ di kalangan komuniti di Sarawak atau ‘losun’ di kalangan kaum Dusun di Sabah, tumbuhan bebawang ini diklasifikasikan secara saintifik dalam (Family) Amaryllidaceae, (Subfamily) Allioideae dan (Genus) Allium. Tumbuhan ini banyak ditemui di kepulauan Borneo dan turut memiliki nama-nama yang berbeza seperti bawang bratak dan bawang suna khususnya di kalangan pelbagai kelompok masyarakat di Kalimantan, Indonesia. Kucai dayak juga dikenali dengan nama ‘lokio’.

[Tradisi]
Bagi komuniti Dayak di Borneo, kucai dayak ini lazimnya ditanam di sawah pada musim menanam padi. Ia hidup subur di tanah gambut atau tanah bakar yang tidak bertakung air. Para petani tradisional selalunya akan mencabut serumpun kucai dayak, memisahkan sebahagian daripada rumpun yang dituai itu untuk dimakan manakala baki pecahan daripada rumpun itu akan terus ditanam semula di atas tanah untuk membiarkannya bercambah secara semulajadi. Kini kucai dayak mula ditanam secara komersial untuk memenuhi permintaan pasaran.

Tanaman kucai dayak adalah unik kerana daripada umbinya ia akan mudah bercambah menjadi rumpun yang lebat dan terus hidup bertahun-tahun jika tidak dituai atau dimusnahkan, dengan daya ketahanan terhadap keadaan cuaca yang kering, malah jika diberikan sistem pengairan yang sempurna akan membuatnya berhasil lebih baik lagi. Namun tanaman kucai dayak akan musnah jika terendam dalam air atau dalam musim hujan yang air tidak mengalir.
[Penanaman]
Kucai dayak bercambah melalui umbi (bawang) dari pokok matang yang telah disimpan kering selama 4-6 minggu untuk memecahkan kedormanannya. Umbi yang sihat boleh ditanam terus di atas batas atau dalam polybag dengan medium atau tanah yang tidak terlalu padat untuk membenarkannya bercambah menjadi rumpun baru dengan kuantiti umbi yang bercambah dengan pesat.
Tanaman kucai dayak seperti tumbuhan bebawang yang lain adalah tumbuhan renek berumpun yang tumbuh dengan daun bulat serta kosong ditengahnya dan berwarna hijau gelap yang boleh mencecah saiz setinggi 60cm. Bawang atau umbinya berbentuk ‘elipsoidal’, berwarna putih keunguan, bersaiz 2-4cm x 7-10 cm yang berumpun dalam tanah. Akarnya jenis berserabut dan tumbuh di setiap umbinya. Kucai dayak lazimya ditanam dalam jarak tanaman yang disyorkan iaitu 15cm x 15cm di batas tanaman atau di polybag bersaiz 15cmx15cm.

[Penjagaan tanaman]
Antara masalah tanaman kucai dayak adalah penyakit ‘clorosis‘ iaitu masalah bahagian daun yang akan terbantut dan mempunyai simptom kekuningan. Kajian mendapati kejadian ini berkaitan dengan kekurangan zat zink dalam tanah dan lazimya kawalan dijalankan dengan membuat semburan baja foliar yang banyak unsur zink. Kawalan rumpai dijalankan dengan manual atau lebih mudah apabila menggunakan polybag atau tanaman batas bermeja. Pembajaan dijalankan semasa penyediaan tanah dengan baja organik yang digaul di atas batas atau di dalam medium tanaman di polybag. Pembajaan NPK jarang digunakan dalam penanaman lokio. Penyakit lain yang menyerang tanaman kucai dayak adalah hama jenis Rhizoglyphus yang menyerang bahagian daun dan pangkal terutama pada musim kering.

[Penuaian]
Tanaman kucai dayak akan boleh dituai dalam masa 45-60 hari selepas ditanam. Pada tempoh itu, daun kucai dayak akan mulai kering. Cara tuaiannya adalah mudah di mana seluruh daun hingga akarnya akan dicabut dengan tangan dari medium atau batas, dibersihkan dari kekotoran dan dikumpulkan. Kucai dayak yang telah dituai akan kekal segar dalam keadaan kering dan dingin selama 1-2 hari. Selepas itu daunnya akan mulai kuning. Sekiranya ada lebihan kucai dayak yang tidak digunakan dengan umbinya yang masih berakar, ia boleh disemai semula untuk ditanam.

[Khasiat]
Kucai dayak adalah sejenis tanaman herba yang mengandungi pelbagai khasiat dan vitamin terutamanya vitamin K dan C. Ia dikatakan mengandungi antioksidan dan boleh membantu mengatasi masalah pencernaan, mengawal kanser dan osteoporosis. Ia juga dapat mengawal kolesterol dalam badan, mengawal penyakit jantung dan meneutralkan kandungan toksik di dalam tubuh badan.
[Resipi]
Kucai dayak yang segar sering dihidangkan sebagai menu kerabu untuk digandingkan dengan ikan salai, ayam salai atau daging salai mahupun umai segar. Umbinya memiliki aroma bawang yang kuat dengan sifat yang hampir menyerupai bawang putih. Umbinya boleh dijadikan jeruk.

Anda boleh membeli kucai dayak dan pelbagai lagi produk pertanian tempatan Borneo melalui laman web TIMOGAH di www.timogah.com.